TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited melaksanakan program Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) dengan kerjasama pelbagai pemegang taruh.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia susulan pelancaran Kita Gempur oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 19 Oktober lalu.
Katanya, dalam hal itu, rakan strategik KPDN di daerah ini menzahirkan komitmen melalui surat aku janji untuk terlibat dalam inisiatif program Kita Gempur.
“Mereka terdiri daripada ‘transporter’ di bawah Program Pengedaran Barang Perlu, Syarikat Pembungkus Minyak Masak di bawah Program Cooking Oil Stabilization Scheme (COSS), pemborong dan peruncit utama, serta pengusaha stesen minyak.
“Pada hari ini, seramai 99 wakil rakan strategik KPDN di sekitar daerah Tawau telah memberikan dan menyatakan komitmen mereka.
“Mereka termasuklah 30 transporter, 29 pengusaha stesen minyak, tujuh syarikat pembungkus minyak masak, 12 wakil pengguna setempat dan 21 pemborong dan peruncit utama di daerah Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Kita Gempur @ Tawau bersama Rakan Strategik Kepenggunaan, di sini hari ini.
Jelasnya, program itu adalah inisiatif kerajaan melalui KPDN yang melibatkan semua pihak sama ada agensi kerajaan, pemain industri dan orang ramai.
Katanya, ia adalah usaha bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi serta mengatasi manipulasi dalam aktiviti perniagaan seperti penipuan dalam talian dan pakatan kartel.
“KPDN akan memperluaskan gerakan ini dengan mendapatkan komitmen daripada semua pemegang Lesen Bagi Barang Kawalan Berjadual (CSA) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Ini termasuklah semua syarikat-syarikat transporter yang dilantik sebagai pelaksana Program Pengedaran Barang Perlu,”katanya.
Armizan berkata, penglibatan syarikat transporter adalah penting bagi memastikan pergerakan bekalan barang kawalan dan bersubsidi daripada point of source (POS) pemborong/syarikat ke point of sale (POS).
“Inisiatif ini dapat mengurangkan ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi seterusnya memastikan dana awam yang disalurkan melalui subsidi kerajaan akan sampai kepada golongan sasaran.
“Syarikat-syarikat transporter ini bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan mengangkut tujuh barangan kawalan dan barangan kawalan bersubsidi, iaitu beras, gula, tepung gandum, minyak masak, Liquified Petroleum Gas (LPG), petrol RON95 dan diesel,” katanya.
Katanya, KPDN juga meminta semua pihak termasuk orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara itu dapat dibanteras. – Info X