TAWAU: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya di sungai Ladang Palm Rides, Kalabakan, di sini, semalam.
Mangsa berusia 36 tahun dibaham buaya ketika memancing di sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Jemishin Ujin berkata, maklumat berkenaan kejadian diterima daripada Balai Polis Kalabakan, jam 7.24 malam semalam.
Katanya, menurut maklumat awal daripada pemanggil iaitu saksi melihat mangsa dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti memancing di sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan kira-kira jam 8 pagi tadi.
“Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain menjalankan SAR dengan radius 3.2 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri dibaham buaya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan jam 7.55 malam tadi dan akan disambung pada esok hari.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X