Search

Politik sopan-santun, perpaduan dan pembangunan acuan penting untuk Sabah

October 29, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus menekankan kepentingan prinsip politik sopan-santun, politik perpaduan dan politik pembangunan sebagai acuan dalam membawa Sabah ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata beliau berpendirian tiga prinsip itu penting untuk dipelihara dan terus diamalkan sesuai dengan cara hidup orang Sabah yang ramah-tamah, bertoleransi dan berharmoni.

Beliau berkata, sejajar dengan cara hidup orang Sabah itu, rakyat pelbagai etnik di negeri ini wajib menyemai dan menyuburkan semangat ‘ethnic trust building’ bagi mengekalkan kerukunan dan suasana harmoni dalam kehidupan masyarakat.

“Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, kita semua menginginkan kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuh-penuhnya.

“Kita juga mahukan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa perlu ada rasa takut atau terancam dalam menjalani kehidupan. Semua keinginan ini hanya boleh dicapai jika negeri dan negara kita aman dan stabil, rukun dan damai,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-39, di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, pada Selasa.

Ketua Menteri turut menekankan kepentingan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negeri dan negara dalam konteks berkerajaan.

Hajiji memalu gong sebagai simbolik perasmian Persidangan Perwakilan PBS Ke-39.

“Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal angan-angan. Kestabilan politik sukar untuk dicapai jika pemimpin bercerai-berai.

“Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat saling bersengketa dan berbalah, yang akhirnya membawa kepada perpecahan, kelemahan dan kehancuran,” katanya.

Mengenai persidangan PBS, Hajiji mengakui perhimpunan di Hongkod Koisaan menyerlahkan kedudukan parti itu sebagai antara parti komponen GRS paling kanan yang diyakini berupaya menyumbang idea bernas dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan kerajaan.

Katanya, parti yang ditubuhkan hampir 40 tahun lalu itu terus mara mengharungi samudera politik Sabah yang kadang-kala bergelora tetapi penuh dengan warna-warni.

“Situasi itu menyebabkan Sabah sering menjadi tumpuan penganalisis politik, termasuklah parti PBS ini sendiri, kerana PBS adalah ‘part and parcel of Sabah Politics’, yang sejak dahulu sering menarik perhatian umum,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah pengasas PBS, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey Kitingan. – Info X