PENAMPANG: Parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkongsi objektif yang sama atas nama negeri dan rakyat Sabah meskipun berbeza latar belakang perjuangan.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keluarga besar GRS sama-sama mahukan Sabah yang bersatu, progresif, dinamik, aman dan sentosa bersandarkan konsep memperkukuh kesatuan dalam kepelbagaian.
“Melalui gabungan ini juga, kita menyelami hati budi rakyat dan memperjuangkannya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
“Justeru, di dalam gabungan ini, perbezaan dan kepelbagaian bukannya batu penghalang untuk kita terus mengorak langkah ke hadapan, membentuk suatu kesatuan demi mencipta perpaduan dan kejayaan.
“Sebaliknya, kepelbagaian yang kita warisi ini adalah kelebihan kita bersama yang harus dimanfaat dan dipelihara. Kelebihan ini jika terus dipupuk dan dijaga, ia akan terus menjadi asas kukuh bagi kekuatan dan keteguhan kita.
“Kelebihan inilah yang telah mewujudkan GRS yang menjadi tunjang pemerintahan negeri, yang kini turut didukungi oleh sahabat-sahabat kita dari PH dan rakan-rakan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-39, di. Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

Dalam gabungan itu, katanya agenda utama ialah komitmen untuk menjaga kepentingan bersama meliputi segenap lapisan masyarakat, secara adil dan saksama, tanpa mengira kelompok majoriti atau minoriti.
Hajiji turut mengakui lumrah perjuangan terutama dalam berpolitik yang sekali-sekala berlaku perbezaan pendapat dan pendekatan berkaitan isu tertentu yang turut berlaku dalam GRS.
Jelasnya, semua itu adalah hakikat kehidupan yang menuntut untuk sentiasa berfikiran terbuka, saling memberi dan menerima, meraikan persefahaman dan menggalakkan permuafakatan.
“InsyaAllah, gabungan ini akan terus kita perkukuhkan demi kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna untuk kecemerlangan masa hadapan,” katanya.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang diakuinya sudah semakin hampir untuk kerajaan pimpinannya memulangkan kembali mandat kepada rakyat melalui proses demokrasi.
Katanya, sebagai kerajaan hari ini, GRS-PH Plus akan terus berkhidmat dan menawarkan diri kepada rakyat bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan usaha memakmurkan negeri serta rakyat Sabah.
“Tahun 2025 adalah tahun pilihan raya. Maknanya, kita akan serah kembali kuasa kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi, sesuai dengan amalan demokrasi. Sebagai Government of the Day, GRS-PH Plus, akan terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir.
“Menjelang pilihan raya nanti, kita akan terus menawarkan parti kita dan gabungan kita kepada rakyat kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta ini dan mensejahterakan rakyat yang dikasihi.
“Sebagai kerajaan pilihan rakyat, GRS-PH Plus adalah platform terbaik untuk kita memantapkan gabungan demi meneruskan agenda perjuangan,” katanya.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata PRN17 menuntut usaha bagi memperkukuh kerjasama, mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan GRS-PH Plus sebagai pilihan terbaik untuk seluruh rakyat.
Beliau memberi jaminan gabungan GRS-PH Plus bukan saja berupaya dan berkebolehan, malah ikhlas dalam perjuangan yang mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan menyandarkan harapan. – Info X