KOTA KINABALU: Datuk Ong Kim Swee belum mahu memikirkan soal sasaran yang ingin dicapai pasukannya setelah kembali menduduki tangga ketiga carta Liga Super musim ini.
Pengendali Sabah FC itu berkata, masih lagi awal untuk memikirkan soal kedudukan pasukan memandangkan perlawanan Liga Super masih di pertengahan musim.
Tumpuan ketika ini katanya, adalah untuk memastikan pemain Sabah FC kekal konsisten dalam setiap perlawanan bagi mengekalkan atau memperbaiki kedudukan pasukan.

“Masih lagi awal, hanya pertengahan musim. Untuk kita mengekalkan kedudukan kita ataupun memperbaiki, kita harus konsisten.
“Saya ingin tumpukan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum kita memikirkan untuk menjadi tempat pertama, kedua ataupun ketiga.
“Tapi yang penting ialah kita perlu memastikan setiap perlawanan kita bermain secara konsisten dan mendapatkan keputusan yang baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam tadi.
Skuad Sang Badak kembali menduduki tangga ketiga carta Liga Super musim ini dengan mengumpul 23 mata, berada di belakang Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam aksi di Stadium Likas, malam tadi, Sabah FC membelasah KDA dengan jaringan 5-2 setelah mendapat peluang yang baik menambah empat gol pada separuh masa kedua, berbanding hanya satu gol pada babak pertama.
Mengulas keputusan itu, Kim Swee menyifatkan ia sesuatu yang cukup baik kepada skuad Sang Badak, namun mengakui ia bukan laluan yang mudah bagi pasukannya.
“Dari segi permainan, saya percaya mereka (Kedah) mengawal permainan dengan begitu baik di mana kita gagal mengekalkan rentak kita apabila mendahului, kecuali apabila kita mendapat gol ketiga dan keempat.
“Di sini yang kita harus perbaiki di mana saya masih lagi tidak berpuas hati dengan gol-gol yang kita dibolosi. Ini yang kita perlu perbaiki dan elakkan pada peluang-peluang yang akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee mengakui keputusan baik yang dilakar pasukannya bukan hanya bersandarkan kepada seseorang pemain, namun hasil kerjasama semua pemain.
Katanya, situasi itu dilihat berdasarkan jumlah gol dikutip Sabah FC dalam tiga perlawanan terakhir yang dimenangi pasukan itu yang menyaksikan ramai pemain dapat menyumbang gol.
“Kalau kita lihat jumlah gol yang kita jaringkan, daripada tiga perlawanan saya percaya kita bukan mengharapkan kepada seseorang tetapi semua pemain.
“Hari ini (malam tadi) kita nampak S Kumaahran dan Gary Steven Robat mampu menjaringkan gol. Ini sudah tentu akan memberi banyak kelebihan,” katanya. – Info X