Search

PKR Sabah minta pihak berkuasa ambil tindakan ‘judi telefon’

November 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ramai golongan berpendapatan rendah di negeri ini, termasuk penjawat awam didakwa terjebak dalam kegiatan ‘judi telefon’ atau judi dalam talian.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin, mendakwa aktiviti itu semakin berleluasa termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, selain turut disertai golongan miskin.

Jelasnya, lebih parah pihaknya mendapat maklumat mengenai murid sekolah di sebuah daerah dekat ibu negeri menjadi mangsa ketagihan judi bapa mereka apabila tiada wang untuk membeli makanan kerana habis akibat berjudi.

“Kita tengok sekarang ini seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Banyak di kampung-kampung, termasuklah kawasan pedalaman, ada premis kecil dibuka untuk pendaftaran dan tambah nilai judi dalam talian ini.

“Sebenarnya isu ini sudah berkali-kali juga dibawa. Cuma, apa yang menyentuh saya apabila ada satu sekolah, guru melaporkan bahawa beberapa murid hadir ke sekolah tanpa belanja sekolah dan tanpa bekal.

“Apabila kita tengok, ibu bapa dia adalah pekerja kerajaan dan apabila kita tanya orang kampung, bapa mereka terbabit dengan judi dalam talian, jadi duit banyak habis di sana,” katanya pada sidang media PKR Sabah, di sini, hari ini.

Jelasnya, ramai golongan berpendapatan rendah, termasuk dalam kategori miskin menyertai judi dalam talian dengan harapan dapat memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan.

Razeef pada sidang medi PKR Sabah di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, katanya ramai yang menjadi mangsa akibat ketagihan berjudi dalam talian kerana tidak menyedari bahawa permainan itu lebih banyak menyebabkan kerugian kepada pemain.

Sehubungan itu, katanya pihak berkuasa perlu mengambil langkah segera membanteras kegiatan itu memandangkan semakin banyak premis kecil menyediakan perkhidmatan mendaftar dan tambah nilai judi dalam talian di merata tempat ketika ini.

“Seperti kawasan saya di Tuaran, saya terima laporan ada beberapa premis kecil yang digunakan untuk jual barang runcit, tapi sebenarnya menjalankan perniagaan yang sama (judi dalam talian).

“Mereka sedia perkhidmatan tambah nilai dan sekarang ini lagi ke hadapan, hanya buat panggilan saja atau ‘bank-in’ saja duit untuk mereka ‘top-up’ judi dalam talian bila sudah kalah.

“Kalau ikut data juga, kebanyakan individu yang kalah judi telefon ini sama nilai kekalahan itu dengan pendapatan bulanan golongan miskin tegar, jadi saya rasa pihak berkuasa sepatutnya lebih tegas menangani isu ini,” katanya. – Info X