KOTA KINABALU: Datuk Ong Kim Swee meletakkan Sabah FC sebagai pilihan utama beliau untuk meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih pasukan selepas kontraknya tamat pada akhir bulan ini.
Beliau kini menunggu keputusan pengurusan Sabah FC berhubung kedudukannya sebagai Ketua Jurulatih yang akan tamat kontrak pada 30 November ini selepas berkhidmat sejak 2021.
Jelasnya, beliau menghormati apa saja keputusan pengurusan Sabah FC berhubung statusnya, sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya.
“Saya sudah dimaklumkan oleh Pengurus Sabah FC, Rafie Robert, di mana pihak pengurusan akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan apa hala tuju pihak pengurusan.
“Bagi saya, saya sudah katakan dari awal yang mana Sabah FC adalah pilihan utama dan saya harus menghormati apa juga keputusan sama ada saya kekal atau tidak.
“Saya percaya ini akan memberi banyak spekulasi dan bagi saya tugas saya hanya akan berakhir buat masa ini pada penghujung November,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan Sabah FC menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Kim Swee berkata, beliau juga akan berbincang dengan pihak pengurusan Sabah FC mengenai kedudukannya dan berharap peminat Sang Badak bersabar menunggu keputusan yang dijangka diumum dalam masa terdekat.
“Buat masa ini belum ada lagi mesyuarat di antara saya dan pengurusan Sabah FC tetapi saya dmaklumkan pengurus yang pihak pengurusan akan buat mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya. – Info X