PAPAR: Pemimpin Sabah sendiri perlu membuat keputusan mengenai gabungan parti yang bakal bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Perkara itu disuarakan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, yang menegaskan tidak perlu ada sebarang paksaan daripada mana-mana pemimpin luar.
“Bagi saya yang memutuskannya biarlah orang Sabah, pemimpin Sabah sendiri, jangan ada paksaan daripada mana-mana pihak luar untuk menentukan atau mencatur siapa bergabung dengan siapa.
“Sebab orang Sabah ini tidak boleh dipaksa. Kalau pilihan raya, kitapun tahu daripada dulu kalau dipaksa, ada orang calon bebaspun boleh menang bertanding.
“Jadi biarlah segala keputusan gabungan itu ditentukan oleh kepemimpinan kita di Sabah,” katanya ditemui media selepas tinjauan situasi trafik di Jalan Lok Kawi – Papar, dekat Kinarut, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam proses demokrasi, mana-mana parti boleh menentukan dengan siapa untuk mereka bergabung sebagai satu pasukan atau blok politik pada pilihan raya itu nanti.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, selain penentuan keputusan oleh pemimpin negeri, matlamat penting ialah memastikan gabungan itu bukan saja memenangi pilihan raya, malah dapat mewujudkan kerajaan yang stabil, harmoni dan boleh bekerjasama.
“Di Sabah ini rakyat kita memerlukan kerajaan yang stabil, komited dan kita mahu membina satu bentuk atau struktur hubungan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang lebih kondusif.
“Kita mahu supaya satu hari nanti kita di Sabah ini tidak payah terus meminta dan merayu kepada kerajaan Persekutuan tetapi dengan hak dan hasil yang ada serta ekonomi yang kuat, kita sendiri ada kekuatan untuk melaksanakan apa-apa projek yang perlu untuk rakyat kita di Sabah,” katanya. – Info X