Search

PRN17: Sabah mahukan kestabilan politik, bukan campur tangan luar – LDP

November 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) menyuarakan bantahan tegas terhadap sebarang campur tangan luar dalam hal ehwal politik Sabah.

Parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menyatakan kebimbangannya terhadap cubaan untuk memecahbelahkan kesatuan di negeri ini melalui manipulasi luar.

Naib Presidennya, Sim Fui, berkata Sabah tidak boleh dijadikan bahan ujian atau tikus makmal oleh sesiapa saja atau mana-mana pihak luar.

“Rakyat Sabah mahukan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan tetapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan mahu menukar kerajaan Sabah.

“Bagaimanapun, rakyat Sabah sekarang lebih bersatu dalam membuat keputusan berhubung kerajaan negeri mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan terbaharu Ahmad Zahid di Parlimen beberapa hari lalu yang mencadangkan untuk menukar kerajaan Sabah.

Beliau menekankan kepentingan autonomi kepada rakyat Sabah dalam menentukan hala tuju negeri tanpa campur tangan luar.

Katanya, rakyat negeri ini mengiktiraf pemimpin sebenar yang betul-betul berjuang untuk Sabah.

“Kita mahu kerajaan negeri yang diputuskan oleh rakyat Sabah sendiri dan bukannya oleh pihak luar,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun menyelar tindakan menjadikan Sabah sebagai makmal ujian bagi menguji kerjasama politik nenghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau menyifatkan tindakan itu seolah-olah menjadikan negeri ini sebagai ‘tikus makmal’ yang dilihat sebagai merendahkan maruah rakyat Sabah.

Katanya, Sabah tidak harus dijadikan bahan eksperimen untuk menguji keberkesanan kerjasama politik di antara parti dalam Kerajaan Perpaduan kerana ia akhirnya hanya membawa kerugian kepada Sabah. – Info X