Search

GRS tidak faham maksud ‘makmal’, kata Bung Moktar

November 11, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Barisan Nasional (BN) Sabah menafikan negeri ini dijadikan tikus ujian makmal bagi menguji kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perkara itu timbul disebabkan ketidakfahaman mengenai maksud sebenar istilah ‘makmal’ dalam konteks kerjasama BN-PH di Sabah.

Jelasnya, kerjasama BN-PH bukan baharu, malah ia sudah bermula dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenanjung dan kini mahu diteruskan pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

“Dia sebenarnya tidak faham sebab kerjasama BN-PH ini bukan baru berlaku, ia sudah berlaku dalam empat, lima PRK. Jadi Sabah bukan bidan terjun sebagai ujian tikus makmal.

“Ia adalah satu kesefahaman bagi memastikan kerajaan kita stabil tidak kira di mana saja. Jadi tidak mungkin di Sabah, UMNO, BN dan PH berlaga pula.

“Sudah tentu, ia akan menjurus ke arah kestabilan politik dan yang jelas saya selaku pemimpin UMNO di Sabah, saya orang Sabah, kenapa pula saya mahu memalukan orang Sabah,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan DUN Pantai Manis, di sini, semalam.

Ketua UMNO Sabah itu mengulas kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun kelmarin, yang tidak bersetuju Sabah dijadikan makmal ujian kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya.

Masidi antara lain menganggap perkara itu seolah-olah menjadikan Sabah sebagai tikus makmal yang dilihat sebagai merendah atau memalukan rakyat negeri ini.

Ia merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini yang menyebut PRN17 Sabah menjadi makmal ujian kerjasama BN-PH untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Bung Moktar berkata maksud sebenar Ahmad Zahid itu menjurus kepada strategi politik BN dan PH dalam menghadapi pilihan raya akan datang, tanpa ada niat memalukan rakyat Sabah.

“Saya tidak tahu kenapa Masidi kata memalukan rakyat Sabah, seolah-olah rakyat Sabah ini dijadikan tikus ujian makmal. Bagi saya itu kenyataan orang yang tidak faham berpolitik sebab politik ini perlu ada strategi.

“Jadi, strategi BN dan PH adalah untuk bekerjasama. Kalau dia (GRS) berhasrat bekerjasama, dia boleh masuk, tapi kena ada keikhlasan. Kalau tidak ikhlas, mengkhianati juga tidak payahlah masuk, bertanding sendirilah,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berpendapat, berdasarkan kenyataan Masidi, niatnya adalah untuk mengelak daripada berlaku pertembungan di antara GRS dengan BN-PH pada PRN17.

“Sebab bagi dia, dia mahu PH bergaduh dengan BN, tapi ia tidak masuk akal. Mana boleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bergaduh pasal satu negeri, adakah kita rela kehilangan negara disebabkan satu negeri, sudah tentu tidak,” katanya. – Info X