PAPAR: Suasana panik menyelubungi Hospital Papar, di sini selepas stor farmasi hospital berkenaan, terbakar malam ini.
Kakitangan hospital turut kelihatan bertungkus-lumus memindahkan pesakit dan peralatan berikutan kebakaran itu.
Ketika ini, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar sedang melaksanakan operasi pemadaman.
Ketua BBP Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.02 malam.
Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah stor perubatan farmasi manakala sebuah bangunan bilik makmal kajian hanya terkena bahang.
“Operasi pemadaman masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi memadam turut dibantu BBP Kimanis. – Info X