Search

51 pesakit berada di wad Hospital Papar ketika kebakaran malam tadi

November 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kebakaran stor farmasi Hospital Papar, malam tadi, memaksa pemindahan pesakit dilakukan, termasuk ke hospital lain.

Menerusi perkongsian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam laman sosialnya, seramai 51 pesakit dalam berada di hospital itu ketika insiden berkenaan.

Daripada jumlah itu, katanya seramai lapan pesakit berada di wad kecemasan, masing-masing seorang dalam zon merah dan tujuh pesakit dalam zon kuning.

Jelasnya, ketika kejadian, pesakit dalam zon merah dan tiga pesakit dalam zon kuning dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

Sementara itu, katanya seramai 19 pesakit lelaki yang berada dalam wad malam tadi, ditempatkan sementara di Dewan Bedah, manakala 14 pesakit wanita ditempatkan sementara di wad materniti.

“Seramai 14 orang pesakit kanak-kanak kekal di wad kanak-kanak, manakala seramai 4 pesakit materniti (dua pos natal) juga kekal di wad materniti.

“Tiada kemalangan jiwa. Punca kejadian masih dalam siasatan. Kerugian sedang dianalisa,” katanya. – Info X