KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Warisan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan berhubung dakwaan skandal rasuah berskala besar di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata mahu siasatan secara telus dan menyeluruh dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan video yang dikaitkan dengan skandal berkenaan.
Katanya, dakwaan skandal itu yang membabitkan beberapa individu menimbulkan kebimbangan dan persoalan serius mengenai integriti dan kepercayaan rakyat.
“Saya menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap pendedahan video yang tular baru-baru ini yang didakwa memaparkan kegiatan rasuah berskala besar melibatkan pihak tertentu.
“Video tersebut telah mencetuskan persoalan serius berkenaan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam serta kerajaan di negara kita.
“Memandangkan implikasi besar yang mungkin timbul daripada dakwaan ini, saya mendesak SPRM untuk segera menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti kesahihan video tersebut serta individu-individu yang terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang ini.
“Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui kebenaran serta diberi jaminan bahawa undang-undang akan ditegakkan tanpa sebarang prasangka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau juga menyeru agar mana-mana pihak yang memiliki maklumat berkaitan skandal itu supaya tampil membantu SPRM dalam proses penyiasatan.
“Kepercayaan rakyat terhadap institusi negara bergantung kepada kesungguhan pihak berwajib dalam mengambil tindakan tegas terhadap isu-isu sebegini.
“SPRM perlu menunjukkan ketelusan dalam siasatan mereka dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya sekiranya dakwaan ini terbukti benar.
“Saya mengulangi komitmen Parti Warisan untuk memperjuangkan integriti, keadilan, dan akauntabiliti dalam semua peringkat pentadbiran negeri dan negara,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal nasional membuat pendedahan mengejutkan mengenai dakwaan kononnya beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan terbabit dalam satu skandal rasuah.
Skandal itu turut dikaitkan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan pimpinannya, khususnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Info X