PAPAR: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu pihak berkuasa menyiasat pemberi rasuah dalam dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin kerajaan negeri.
Beliau berkata, bagi kerajaan negeri, pihaknya meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dan akan memberi kerjasama.
“Kita akan bagi kerjasama, tapi siasat juga yang pemberi rasuah. Itu pemberi rasuah mempunyai niat yang tidak baik.
“Untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar. Jadi bagi saya, to be fair, tangkap dia dulu,” katanya ditemui pemberita di Kimanis, hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan dirinya yang timbul beberapa hari lalu.
Mengulas mengenai namanya yang turut dikaitkan dengan dakwaan skandal itu, beliau menegaskan dirinya tiada apa-apa.
Katanya, kerajaan pimpinannya, khususnya di pihak GRS juga dalam keadaan baik dan masih berjalan seperti biasa.
“Memang ok..kita kerajaan, masih berjalan dengan baik, itu cuma tuduhan, laporlah kepada MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.
Hajiji turut menegaskan, beliau dan kerajaan negeri tiada apa-apa yang perlu disembunyikan. – Info X