Search

Lelaki miliki 13 rekod jenayah diberkas ceroboh rumah

November 12, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki yang memiliki 13 rekod jenayah lampau diberkas polis sekali lagi selepas menceroboh sebuah rumah di Taman Tawau, Jalan Chong Thien Vun, di sini.

Suspek warga tempatan berusia 41 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan kejadian telah dibuat seorang wanita berusia 43 tahun selepas rumahnya diceroboh suspek, pada 2 Julai lalu.

“Hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek masuk ke rumah mangsa, jam 4.22 pagi.

“Suspek bertindak memanjat pagar hadapan rumah untuk mencabut CCTV yang dipasang di bahagian luar rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, modus operandi suspek adalah memasuki mana-mana rumah yang tidak berpenghuni atau ditinggalkan sementara waktu untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan.

Katanya, suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan pencerobohan jenayah. – Info X