KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyebaran video yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Menyuarakan gesaan itu, bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Brig Jen (Kehormat) RELA, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, berkata siasatan di bawah SKMM juga perlu memandangkan ia membabitkan kes yang serius.
Katanya, klip video yang disebarkan itu tidak boleh dipercayai kerana tidak disusuli dengan laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sekiranya penyebar klip video itu berada di pihak yang benar, sudah pasti individu berkenaan sudah melaporkan apa yang didakwanya sebagai perbuatan rasuah kepada pihak polis atau SPRM.
“Kenapa penyebar klip video tersebut tidak membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM, sebaliknya hanya menyebarkan klip video tersebut di media sosial?
“Ini menunjukkan bahawa klip video itu hanyalah rekaan yang disebarkan untuk kepentingan peribadi dan sengaja mengaitkan ADUN jerajaan dengan motif memfitnah dan menjejaskan nama baik dan reputasi mereka serta jerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas penyebaran klip video dikaitkan dengan skandal rasuah ADUN Sabah yang kini tersebar di media sosial.
Sehubungan itu, Jerry mengingatkan rakyat Sabah tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan rasuah terbabit hanya berdasarkan beberapa rakaman video yang disebarkan di media sosial.
Beliau turut menyokong kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini yang meminta SPRM untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan skandal rasuah itu. – Info X