TAWAU: Seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan hampir sejam selepas jari manis kanannya tersangkut pada tombol pintu, di rumahnya di Jalan Bukit Kawa Apas, Balung di sini, malam ini.
Kejadian itu disedari oleh ahli keluarganya sebelum meminta bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.05 malam.
Katanya, seramai enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 45 kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi, didapati jari manis kanan seorang kanak-kanak perempuan tersekat dalam tombol pintu.
“Pasukan operasi menggunakan peralatan khas cutter untuk membuka tombol pintu berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 12 minit untuk memotong tombol berkenaan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 8.07 malam,” katanya. – Info X