KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu berikutan penemuan salah laku membabitkannya.
Menerusi satu kenyataan, CEO baharu SMM, Natasha Sim, berkata siasatan dalaman secara menyeluruh yang dilakukan syatikat mendedahkan pelanggaran tugas fidusiari dan dakwaan aktiviti penipuan dilakukan bekas CEO terbabit.
Dakwanya, siasatan dalaman turut mendedahkan berlaku penyampaian maklumat yang salah kepada lembaga pengarah SMM dan salah laku bekas CEO itu sepanjang mengetuai syarikat berkenaan.
“Sebagai tindak balas kepada penemuan ini, syarikat telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
SMM ialah anak syarikat kerajaan (GLC) Sabah yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber mineral negeri.
Ia menjadi perhatian selepas pendedahan satu video di sebuah portal berita yang memaparkan temubual bekas CEO syarikat itu, Jontih Enggihon, berhubung perkara yang berlaku dalam isu mineral ketika beliau menjadi CEO.
Ia berkaitan dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah yang kini dalam proses siasatan SPRM.
Natasha berkata, siasatan dalaman syarikat mengenal pasti beberapa kes yang mana bekas CEO itu bertindak melebihi kuasanya.
Beliau mendakwa, bekas CEO itu juga mengambil tindakan yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada entiti yang ada potensi konflik kepentingan, selain bersekongkol dengan pihak ketiga yang mewakili kartel kepentingan.
“Tindakan-tindakan ini dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan Lembaga Pengarah, ia satu pelanggaran serius terhadap dasar dan piawaian tadbir urus syarikat,” katanya.
Katanya, selaras dengan komitmen syarikat terhadap ketelusan dan pematuhan undang-undang, SMM juga melantik penasihat undang-undang luar untuk menentukan tindakan sivil selanjutnya terhadap bekas CEO itu.
Tindakan itu, katanya bagi mendapatkan ganti rugi atas sebarang kerugian kewangan atau kerosakan reputasi yang ditanggung oleh syarikat.
“SMM kekal komited untuk menegakkan piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua operasinya.
“Syarikat berdedikasi untuk melindungi kepentingan pemegang saham dan rakyat Sabah serta tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menjejaskan integriti operasinya,” katanya.
Natasha berkata, SMM bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dan PDRM dalam siasatan mereka dan akan terus memberikan apa saja bantuan yang diperlukan bagi memastikan isu itu ditangani mengikut undang-undang negara.
“Kenyataan ini dibuat bagi memastikan semua pihak berkepentingan dimaklumkan sepenuhnya mengenai tindakan syarikat dan komitmen terhadap pengurusan yang bertanggungjawab,” katanya. – Info X