Search

Polis tahan 21 pelajar disyaki terbabit pergaduhan

November 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan 21 pelajar disyaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah gelanggang futsal, di sini, yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, semua pelajar yang ditahan membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima.

“Semua 21 pelajar itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di gelanggang futsal berkenaan.

“Semua mereka yang dibawah umur ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda.

Kasim berkata, kejadian ini dipercayai berpunca daripada salah faham berkaitan dengan perselisihan faham yang berlaky sebelum ini.

“Mangsa dipukul beramai-ramai dan mengalami sakit pada beberapa bahagian badan dan telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

“Setakat ini, tindakan masih dijalankan untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Semalam, tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan pelajar sekolah bergaduh di sebuah gelanggang futsal di Kampung Tebobon, Manggatal, di sini.

Turut ditularkan sekeping gambar menunjukkan kecederaaan di bahagian kepala seorang mangsa yang didakwa dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan. – Info X