LAHAD DATU: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menegaskan Pasukan Polis Marin (PPM) perlu terus berada di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Walaupun terdapat kemungkinan unit ini akan diletakkan dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), PPM mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Melihat kepada kejayaan-kejayaan yang direkodkan sebelum ini, kita mengambil cakna terhadap Sabah terutamanya di pantai timur Sabah di mana banyak isu-isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan juga daripada maklumat penculikan dapat dikurangkan sejak 2020 sehingga hari ini.
“Alhamdulilah tiada lagi kes penculikan dan kita minta bahawa perkara ini terus dipantau dan diambil tindakan oleh PPM dan juga agensi- agensi yang berada dialam Eastern Sabah Security Command (ESSCOM),” katanya.

Razarudin berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun PPM ke-77 di Markas Operasi PPM Wilayah (4) Lahad Datu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, PPM adalah tunggak dan pasak yang menjadikan keamanan perairan negara sentiasa terpelihara dan rakyat menikmati kemakmuran berterusan.
“Sambutan Hari Ulang Tahun ke-77 PPM yang dianjurkan di Sabah menunjukkan “omnipresence dan show of force” PPM di perairan Sabah.
“Selain itu memperlihatkan kekerapan operasi dan komitmen tinggi PPM menjalankan tugas kepolisan di perairan negara untuk mengawal keselamatan, pencerobohan dan juga eksploitasi idupan laut,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan PPM, beliau berkata, dalam tempoh kajian sepanjang 2024 dari Januari hingga 31 Oktober, PPM merekodkan kejayaan cemerlang dengan menumpaskan sebanyak 7,103 kes jenayah yang dilakukan di perairan Malaysia.
“Semua ini merekodkan nilai rampasan serta saman berjumlah RM210 juta bagi tempoh yang dinyatakan,” katanya. – Info X