Search

Dua kanak-kanak ditemukan lemas dalam kolam

November 25, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Dua kanak-kanak masing-masing berusia tujuh tahun ditemui lemas di sebuah kolam di Kampung Rungus Nahaba, Tamparuli, di sini, semalam.

Kejadian hanya disedari selepas adik kepada salah seorang mangsa memaklumkan kepada keluarganya.

Difahamkan, kanak-kanak berusia 5 tahun yang terselamat itu turut bersama-sama kedua-dua mangsa pergi ke lokasi berkenaan untuk berenang di kolam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, sebaik menerima laporan jam 5.18 petang, sepasukan polis terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa telah dibawa balik ke rumah oleh ahli keluarga masing-masing.

“Beberapa penduduk kampung bersama keluarga mangsa pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menemui kedua-dua mangsa di dasar kolam dalam keadaan tidak sedarkan.

“Pihak Hospital Tuaran yang hadir membantu di tempat kejadian kemudiannya mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal, jarak kolam daripada rumah kedua-dua mangsa hanya kira-kira satu kilometer.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan luaran.

“Keluarga mangsa telah tampil ke Balai Polis Tamparuli membuat laporan polis dan setakat ini kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, Noraidin berkata bagi mengelak daripada insiden yang menyedihkan ini berulang, ibu bapa perlu peka terhadap pergerakan anak masing-masing dan melarang mereka bermain berhampiran takungan air atau sungai dan kawasan yang berbahaya terutama di musim tengkujuh ini.

“Saya juga ingin menggesa semua pihak yang ada membina kolam atau apa-apa bentuk takungan air di kawasan masing-masing supaya memasang pagar keselamatan dan tanda amaran untuk mengelak kejadian seperti ini berulang,” katanya. – Info X