Search

Kiulu destinasi pelancongan mesra kesihatan

November 28, 2024

Info X Reporters

KIULU: Dearah kecil Kiulu boleh menjadi destinasi pelancongan mesra kesihatan dengan memanfaatkan keindahan alam semula jadi dan sokongan komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, menyifatkan Kiulu sebagai destinasi ‘tourism with a heart’ di mana pelancongan bukan saja mempromosikan keindahan semula jadi tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada pelawat dan penduduk tempatan.

“Kiulu memiliki nilai kekitaan dan semangat komuniti yang kuat. Kita boleh mempromosikan pelancongan yang membawa manfaat holistik kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Ceramah Kesedaran Demensia dan Alzheimer sempena Bulan Kebajikan di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini, hari ini.

Joniston melihat pameran mengenai penyakit demensia dan alzheimer.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu, berkata komuniti kecil seperti Kiulu boleh berperanan memberikan sokongan kepada individu yang mengalami penyakit seperti dimensia.

“Dengan struktur sosialnya yang erat, Kiulu boleh menjadi contoh bagaimana komuniti kecil boleh memainkan peranan besar dalam memberikan sokongan kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Selain itu, penggunaan terapi alam semula jadi, seperti suasana damai dan keindahan landskap Kiulu, serta aktiviti tradisional seperti pertanian dan pembuatan kraftangan boleh menjadi elemen sokongan kepada pesakit,” katanya.

Program kesedaran yang dianjurkan Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Sabah, dengan kerjasama komuniti setempat, turut melibatkan ceramah dan sesi perkongsian maklumat mengenai gejala, pencegahan dan sokongan bagi pesakit demensia dan Alzheimer.

Joniston berkata program itu dapat melengkapkan penduduk Kiulu dengan maklumat penting, membolehkan mereka mengenal pasti tanda-tanda awal Demensia dan Alzheimer serta menyediakan sokongan moral, fizikal dan sosial sejajar dengan nilai komuniti Kiulu yang penuh kesatuan.

Program itu turut dihadiri Pengasas Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Sabah, Datuk Zahra Ismail; Timbalan Presiden Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer, Venitia Lojuti dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, Golubi Guntarek. – Info X