KOTA KINABALU: DAP Sabah mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengutamakan siasatan dakwaan skandal rasuah yang membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Setiausahanya, Vivian Wong, berkata DAP memantau dengan teliti perkembangan kes itu sejak video mengenainya didedahkan sebuah portal berita sejak sebulan lalu.
Katanya, DAP Sabah memandang serius dakwaan yang ditularkan melalui klip video terbabit dan menyokong penuh siasatan SPRM.
“DAP Sabah memantau dengan teliti perkembangan berkaitan perkara ini dan melihat siaran rakaman baru-baru ini dengan penuh serius.
“DAP Sabah menyokong penuh SPRM dalam menjalankan siasatan yang teliti dan saksama.
“Kami menggesa SPRM untuk mengutamakan kes ini dan memastikan ia dikendalikan dengan ketelusan dan integriti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, sumber alam Sabah adalah aset berharga milik rakyat negeri ini dan generasinya pada masa akan datang.
“DAP secara konsisten memperjuangkan keutamaan sumber mineral Sabah untuk industri hiliran bagi memaksimumkan nilainya.
“Komitmen ini terbukti dalam usaha Pengerusi DAP Sabah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe,” katanya.
Ahli Parlimen Sandakan itu, berkata DAP Sabah mengiktiraf dan menghargai tindakan tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Noor dalam memastikan tiada lesen melombong dikeluarkan.
“Sungguh melegakan apabila sejumlah besar sumber asli dapat diselamatkan untuk manfaat Sabah.
“Bagaimanapun, pendirian kami tetap teguh, DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan menentang rasuah dalam apa jua bentuk dan percaya kepada keadilan penyiasatan,” katanya. – Info X