Search

UMNO ajak PH Sabah sama-sama lawan skandal rasuah

December 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengajak Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk bersamanya menentang skandal rasuah yang didakwa menghantui kerajaan negeri.

Setiausaha Politik Ketua UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain, berkata sikap berdiam diri pemimpin PH Sabah hanya menyebabkan mereka dikaitkan dengan skandal itu.

“PH Sabah juga harus bersama UMNO Sabah menentang skandal ini. Sikap berdiam diri hanya akan mengaitkan mereka dengan skandal tersebut.

“Mereka (PH Sabah) perlu konsisten dengan idealisme menentang salah guna kuasa, sebagaimana mereka lakukan terhadap pemimpin BN dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ketika ini PH Sabah yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan UPKO adalah sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sementara itu, Aziz menolak pandangan seorang penganalisis politik yang mendakwa UMNO berisiko kalah besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tanpa kerjasama dengan GRS.

Beliau menyifatkan pandangan Dr Azmi Hassan dari Akademi Nusantara itu dangkal dan tidak memahami realiti politik Sabah.

Abdul Aziz menegaskan, UMNO Sabah kekal konsisten dengan prinsip daripada rakyat, untuk rakyat dan demi rakyat.

“Menggadaikan prinsip demi kemenangan mudah adalah seperti menjual maruah perjuangan.

“Sabah kini berdepan kemiskinan, pengangguran tertinggi dan skandal rasuah yang memalukan melibatkan pemimpin Kerajaan Negeri. UMNO Sabah menolak politik bisu demi kuasa,” katanya.

Beliau berkata, desakan agar Ketua Menteri meletakkan jawatan seperti disuarakan pemimpin parti itu juga selaras dengan amalan kepimpinan dunia.

Katanya, pemimpin yang terpalit dengan skandal mesti berundur untuk membolehkan siasatan telus dijalankan tanpa sebarang halangan dengan prinsip ‘no fear, no favor’.

Aziz juga menegaskan bahawa UMNO Sabah kekal kukuh di bawah Datuk Seri Bung Moktar Radin, walaupun melalui cabaran besar selepas 2018.

“Politik sebenar ialah keberanian memperjuangkan keadilan, bukan semata-mata kuasa. UMNO Sabah tetap teguh menjadi penyambung suara rakyat,” katanya. – Info X