KOTA KINABALU: Perjalanan seorang ibu ke sekolah bersama anak perempuannya berusia sembilan tahun berakhir tragedi apabila dia terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya, awal pagi tadi.
Kejadian menyayat hati itu berlaku jam 5.12 pagi, selepas Toyota Camry dipandunya dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Lintas, berhampiran Maimunah Cybercity.
Mangsa Hazwah Jubrine, 46, bekerja sebagai kerani di Sekolah Kebangsaan St Francis Convent Kota Kinabalu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala anak perempuannya selamat.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke sekolah bersama anaknya yang juga bersekolah di SK St Francis Convent.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan membabitkan dua kereta jenis Toyota Camry dan Perodua Myvi.
Katanya, siasatan lanjut mendapati Perodua Myvi dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an yang datang dari arah Kobusak menuju ke Putatan.
“Sebaik tiba berhampiran Speed Car Wash, Cybercity, pemandu Perodua Myvi yang cuba untuk membuat pusingan ‘U’ dengan secara tiba-tiba kenderaan Perodua Myvi itu hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di hadapannya dan melambung ke sebelah jalan arah laluan yang bertentangan.

“Dalam masa yang sama, Toyota Camry dipandu mangsa dari arah jalan lurus iaitu dari arah KKIA menghala ke arah Lido lalu menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, akibat daripada kemalangan itu, pemandu Toyota Camry mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pemandu Perodua Myvi berkenaan yang cuai di dalam pemanduannya sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke arah laluan bertentangan dan merempuh pemandu Toyota Camry.
“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
Sementara itu, sepasukan anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta Toyota Camry. – Info X