LAHAD DATU: Tiada lesen memandu mencatatkan peningkatan sebanyak 79.78 peratus di daerah ini bagi tempoh 1 Januari sehingga November tahun ini.
Sebanyak 5,778 kes berkaitan kesalahan tiada lesen memandu direkodkan dalam tempoh berkenaan, berbanding 3,214 kes pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Mohd Harris Ali berkata, sepanjang Januari hingga November 2024, JPJ cawangan Lahad Datu merekodkan jumlah pengeluaran saman sebanyak 11,621 atas pelbagai kesalahan.
“Kesalahan tiada lesen memandu atau Competent Driving Licence (CDL) adalah kesalahan tertinggi dengan 49.72 peratus.
“Ini menunjukkan terdapat peningkatan yang ketara dalam jumlah kes pemandu tanpa CDL pada tahun 2024 berbanding tahun 2023 dan hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu JPJ Lahad Datu di Jalan Silam, di sini, 10 Disember lalu.
Menurut Mohd Harris, dalam tempoh 11 bulan ini, JPJ Cawangan Lahad Datu menerima 10 aduan melalui aplikasi MyJPJ berkaitan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, antara aduan yang diterima adalah memotong di sebelah kiri, meletak kenderaan menghalang lalu lintas, gagal mematuhi isyarat lalulintas dan lain-lain kesalahan.
“Tindakan penguatkuasaan berterusan oleh pihak JPJ juga berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pematuhan undang-undang jalan raya di kalangan pemandu.
“Ini dapat dilihat sehingga November 2024, sejumlah 6,230 orang calon mendaftarkan diri bagi mendapatkan lesen memandu di institut-institut memandu dan ini merupakan satu perkembangan yang positif,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Harris berkata, Ops Bersepadu yang dilaksanakan oleh JPJ Sabah melalui Bahagian Penguatkuasaan JPJ Sabah dan JPJ Cawangan Lahad Datu serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain ini bertujuan untuk mengambil tindakan atas kesalahan lalu lintas.
“Dalam Ops Bersepadu yang dilaksanakan pada Selasa, sebanyak 239 kenderaan diperiksa dan 86 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Statistik tindakan penguatkuasaan ini, menunjukkan komitmen JPJ khususnya cawangan Lahad Datu dalam memastikan pematuhan undang-undang jalan raya yang lebih tinggi, sekali gus memperkukuhkan lagi usaha meningkatkan keselematan di jalanraya,” katanya. – Info X