Search

Pejalan kaki maut terpelanting atas bumbung kenderaan

December 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut akibat dirempuh kereta ketika melintas jalan raya di Jalan Coastal berhampiran Sutera Avenue, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.38 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah selepas terpelanting ke atas bumbung kenderaan itu sebelum dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an datang dari arah Centre Point menuju ke Tanjung Aru.

Pejalan kaki yang terpelanting selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Coastal, Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika pemandu berada di lorong kanan dengan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.

“Akibat daripada kemalangan, pejalan kaki parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pejalan kaki yang mana telah cuai di dalam melintas jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.

“Di samping itu juga tidak jauh dari lokasi kejadian terdapat jejantas untuk pejalan kaki namun tidak digunakan oleh mangsa.

Pasukan bomba menurunkan mangsa yang berada di bumbung kenderaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sehubungan itu, kasim berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepad peraturan lalu lintas.

“Selan itu juga, bagi pejalan kaki pula, dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan jejantas ataupun laluan pejalan kaki bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu berada di lokasi bagi membantu menurunkan mangsa yang berada di bumbung kenderaan berkenaan. – Info X