Search

Ubah suai tangki minyak, gagal lapor pertukaran nakhoda, dua bot, 9 kru ditahan

December 21, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot yang disyaki melakukan pengubahsuaian tangki minyak di atas bot ketika menjalankan aktiviti perikanan dan gagal melaporkan pertukaran nakhoda.

Kedua-dua bot berkenaan ditahan APMM Zon Maritim Lahad Datu menerusi Ops Pluto Timur 2/2013, Ops Tiris 3.0, di sekitar 3.7 batu nautika tenggara, Pulau Sakar, pada jam 2.55 petang, semalam.

Pengarah Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan seorang warga Indonesia dan seorang palauh manakala bot kedua dikendalikan seorang warga Indonesia dan enam palauh.

Bot yang ditahan kerana mengubah suai tangki minyak tanpa kebenaran. – Foto/APMM

“Semua mereka berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pertama melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai tangki minyak tanpa kebenaran dan mempunyai lesen tamat tempoh.

“Manakala bot kedua melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sembilan ditahan APMM di sekitar 3.7 batu nautika tenggara, Pulau Sakar, Lahad Datu. – Foto/APMM

Menurutnya, semua kru dan bot dibawa ke Jeti Perikanan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Nilai tangkapan bagi kedua-dua bot itu adalah berjumlaj hampir RM350,000.

“APMM tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara,” katanya. – Info X