KOTA KINABALU: Dua lelaki berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam gaung dengan kedalaman 20 meter di Kampung Kopungit, di sini, malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.19 malam.
Katanya, 14 anggota bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak dua kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Proton Saga FLX terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter.
“Dua mangsa lelaki berusia 27 dan 38 tahun terbabit dan telah keluar dengan sendiri. Mangsa dilaporkan selamat dan enggan dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tidak ada bahaya lain yang wujud.
“Operasi ditamatkan pada jam 8.55 malam. Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi kejadian,” katanya. – Info X