Search

Lelaki terkandas atas pokok durian ketika cuba ambil dron tersangkut

December 23, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang lelaki yang tersangkut di atas pokok durian di Kampung Batandok Lubak, di sini diselamatkan oleh anggota bomba, petang tadi.

Mangsa berusia 36 tahun itu dikatakan tidak dapat turun selepas mengalami pening ketika mengambil dron miliknya yang tersangkut di atas pokok durian setinggi tujuh meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.54 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 12 kilometer dari balai bomba.

“Setiba di lokasi benar terdapat seorang lelaki di atas pokok durian setinggi tujuh meter gagal turun dari pokok ketika mengambil dron miliknya yang tersangkut di atas pokok berkenaan.

Mangsa diselamatkan pasukan bomba selepas tersangkut atas pokok durian setinggi tujuh meter di Kampung Batandok Lubak, Beaufort. – Foto/Bomba

“Tindakan pasukan bomba menurunkan mangsa menggunakan tangga dan tali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dilaporkan stabil.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 6.49 petang,” katanya. – Info X