Search

Ura-ura himpunan aman di Menara Kinabalu: UMNO Sabah minta polis ketatkan keselamatan

December 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah meminta pihak polis mengetatkan keselamatan berikutan ura-ura penganjuran dua perhimpunan aman di hadapan Menara Kinabalu yang menempatkan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada 31 Disember ini.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pertembungan dua perhimpunan yang dianjurkan dua kumpulan berlainan di tempat dan masa yang sama itu boleh mencetuskan insiden tidak diingini jika berlaku provokasi tidak terkawal.

Jelasnya, pihak berkuasa perlu menilai implikasi keselamatan yang mungkin berlaku jika dua kumpulan terbabit dibiarkan mengadakan perhimpunan serentak di lokasi yang sama.

“Saya ingin menegaskan bahawa sekiranya benar seperti yang dipaparkan di media sosial dan sidang akhbar terdapat dua perhimpunan atau yang berkaitan sedang dirancang berlangsung di kawasan dan masa yang sama pada 31 Disember ini di hadapan PPNS, perkara ini perlu diberikan perhatian serius walaupun ia dirancang sebagai perhimpunan aman.

“Situasi seperti ini berpotensi mencetuskan ketegangan di antara dua kumpulan yang berhimpun, sekali gus membuka ruang kepada provokasi melampau yang berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Saya memahami bahawa kedua-dua perhimpunan itu mempunyai matlamat masing-masing dan membawa mesej penting untuk rakyat, namun semua pihak harus menilai dari setiap aspek, termasuk implikasi terhadap keselamatan dan kestabilan negeri Sabah.

“Justeru, saya menggesa pihak polis untuk meneliti perkara ini secara mendalam dan mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Bung Moktar Radin.

Sebelum ini, sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS merancang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.

Satu lagi kumpulan yang menamakan diri sebagai Gerakan Bangkit Sabahan merancang Himpunan Bangkit Sabahan Pertahankan Hak Sabah, Kami Bersama Hajiji.

Berikutan itu, Bung Moktar mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil pihak polis bagi mengelak berlaku insiden tidak diingingi disebabkan perhimpunan itu.

“Antara langkah yang boleh dipertimbangkan, yang pertama pisahkan lokasi perhimpunan dengan membenarkan salah satu pihak memindahkan lokasi perhimpunan ke kawasan yang berbeza demi mengelakkan pertembungan fizikal antara dua kumpulan.

“Kedua, lakukan komunikasi dengan penganjur yang mana pihak polis perlu mengadakan dialog dengan kedua-dua penganjur bagi memastikan semua pihak mematuhi garis panduan undang-undang berkaitan perhimpunan aman, seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Ketiga, polis perlu meningkatkan langkah keselamatan dengan menempatkan lebih ramai anggota keselamatan di kawasan perhimpunan untuk mengawal situasi dan memastikan kelancaran kedua-dua acara,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran perhimpunan seumpama itu tidak boleh dibiarkan menjejaskan keselamatan rakyat Sabah, malah aspek itu adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

“Saya menyeru semua pihak yang terlibat agar sentiasa menjaga keharmonian dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negeri,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Sabah berdiri teguh dalam menyokong sebarang usaha yang bertujuan untuk membawa kebaikan kepada negeri ini, namun ia mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan undang-undang dan kepentingan awam. – Info X