PENAMPANG: Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Penampang – Tambunan, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa lelaki tempatan berusia 20 tahun yang menunggang motosikal seorang diri meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal polis, mendapati motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri ke laluan bertentangan.
“Motosikal mangsa kemudian bertembung dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah Penampang.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.
Sementara itu, Sammy mengingatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. – Info X