KENINGAU: Seorang lelaki mengaku terlalu mabuk sehingga tidak menyedari memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di bangunan Tekun Jaya, Pekan Nabawan, di sini, Jumaat lalu.
Lelaki berusia 31 tahun itu mengakui perbuatan itu ketika tampil sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dan memberi keterangan kepada polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kejadian disedari kira-kira jam 8 pagi oleh pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga mesin ATM berkenaan.
Katanya, laporan polis kemudiannya dibuat oleh pegawai bank berusia 42 tahun selepas menerima maklumat daripada pengawal keselamatan terbabit.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku kemungkinan memukul skrin dengan tangan berdasarkan kepada kesan luka pada tangannya.
“Suspek juga bersetuju untuk membuat bayaran ganti rugi kerosakan mesin ATM berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yampil berkata, jumlah kerugian bagaimanapun belum dapat ditaksirkan dan hanya dapat diperolehi pada Isnin ini selepas pejabat bank beroperasi.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan pihak polis juga mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. – Info X