KOTA KINABALU: Rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini diingatkan supaya sentiasa bersikap rasional dan tidak terpengaruh dengan isu berbaur perkauman atau agama yang berlaku di negeri lain.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, berkata rakyat negeri ini perlu mengekalkan toleransi kaum dan agama yang menjadi amalan sejak dahulu lagi.
Katanya, apa yang berlaku di Semenanjung seperti menjadikan sambutan Krismas di kementerian sebagai satu isu besar tidak boleh dibiarkan berlaku di negeri ini.
“Kita kena rasional, jangan kita terbabit isu yang berlaku di negeri lain, di Sabah lain. Perayaan Krismas di sebuah kementerian satu Semenanjung bising, tapi di Sabah ia biasa dan tidak menjadi isu.
“Jadi saya yakin kita amat rasional dalam soal ini, jadi kita jangan terpengaruh dengan isu itu,” katanya berucap pada sambutan Krismas Sekampung di Kampung Malawa, Sepanggar, dekat sini, hari ini.

Dalam hal itu, beliau berkata Parlimen Sepanggar akan dijadikan sebagai ‘Mini Sabah’ atau model amalan kerjasama pelbagai kaum dan agama yang menggambarkan situasi unik di negeri ini.
Katanya, usaha ke arah itu sudah dimulakan menerusi penganjuran sambutan perayaan sekampung pada setiap perayaan yang disambut di negeri ini.
“Sebelum ini, sambutan Hari Raya Sekampung diadakan di Kampung Darau yang dihadiri rakyat pelbagai kaum dan agama bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri.
“Hari ini pula kita adakan Hari Krismas Sekampung di Kampung Malawa. Jadi ini yang kita cuba buat, bagi menjadikan Sepanggar ini sebagai model Mini Sabah,” katanya.
Pada majlis itu, Mustapha turut memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap permohonan penduduk bagi mendapatkan kemudahan yang lebih baik bagi kampung mereka. – Info X