KOTA KINABALU: Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan modul baharu Pembelajaran dan Pemudacaraan (PdPC) Sains Awal berkonsepkan Agromakanan Edu-Pelancongan.
Pensyarah Program PAKK UMS, Dr Nur Suhaidah Sukor, berkata modul itu direka khusus untuk menggalakkan kanak-kanak prasekolah meneroka, belajar dan memahami konsep sains awal melalui aktiviti interaktif yang menyeronokkan.
Katanya, pendekatan itu selaras usaha untuk memperkaya pengalaman pembelajaran kanak-kanak dengan mengintegrasikan unsur pembelajaran praktikal dan suasana persekitaran sebenar bagi memupuk minat mereka terhadap bidang sains.
“Matlamat penghasilan modul ini adalah bagi menyokong SDG-2 iaitu mencapai keselamatan makanan dan menggalakkan pertanian mampan serta SDG-4 iaitu pembangunan awal kanak-kanak yang berkualiti.
“Inisiatif ini juga bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran kepada pelajar PAKK UMS untuk melaksanakan PdPC Sains Awal di lokasi tarikan pelancong seperti Muzium Akuarium UMS dan Kundasang Aquafarm.
“Kami percaya pembelajaran secara ‘hands-on’ adalah kaedah terbaik untuk kanak-kanak memahami konsep sains awal dengan lebih baik. Melalui modul ini, kami berharap dapat menanamkan sifat ingin tahu dan semangat eksplorasi dalam diri mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Program, Sumiraa Amir, berkata modul yang dihasilkan itu memberi peluang kepada pelajar PAKK UMS untuk mengaplikasi pengetahuan teoretikal pengajaran dalam situasi sebenar.
“Dengan melaksanakan modul PdPC Sains Awal ini, kami dapat memanfaatkan suasana pembelajaran sebenar untuk menarik minat murid prasekolah terhadap tunjang Sains Awal. Ini adalah pengalaman pembelajaran yang tidak ternilai untuk kami.
“Antara aktiviti berkonsepkan agromakanan dan edu-pelancongan yang dijalankan adalah pengenalan dan ciri-ciri haiwan akuatik, penjagaan kebersihan laut, pemeliharaan habitat haiwan akuatik, penyemaian biji benih serta pengenalan teknik hidroponik dan akuaponik,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan FPPS, Prof Madya Dr Soon Singh Bikar Singh, berkata pihaknya menyokong usaha yang dilakukan Dr Nur Suhaidah dan berharap agar program itu dapat memperkasa Program Pendidikan Awal Kanak-kanak di UMS.
“Dengan memanfaatkan sumber semula jadi dan persekitaran yang ada di Sabah, FPPS berupaya menyediakan pengalaman pembelajaran yang unik dan relevan kepada pelajar PAKK UMS. Ini juga sejajar dengan visi FPPS untuk mempromosi pembelajaran berasaskan pengalaman.
“Program ini diharapkan dapat menjadi platform bagi PAKK UMS untuk membina hubungan industri agar dapat mewujudkan pengalaman pembelajaran sebenar dan seterusnya mengalakkan pewujudan sudut pendidikan awal di lokasi tarikan pelancong.
“Dengan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri, PAKK UMS terus komited untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan bermakna bagi kanak-kanak,” katanya. – Info X