KOTA KINABALU: Sabah FC siap sedia berdepan Sri Pahang FC dengan misi untuk mengumpul bekalan selesa pada saingan separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia di Stadium Likas, Sabtu ini.
Pengendalinya, Martin Stano, berkata pasukannya akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang bermain di gelanggang sendiri di hadapan penyokong tegarnya bagi mencatat keputusan positif menentang Sri Pahang.
Walaupun mengakui kekuatan Sri Pahang selaku bekas juara empat kali Piala Malaysia, beliau tetap berkeyakinan anak buahnya mampu mencipta keputusan yang positif dalam perlawanan berkenaan.
Stano berkata, skuad bimbingannya sudah bersedia memberi yang terbaik kepada pasukan dan melupakan kekalahan 4-0 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika aksi Liga Super di Johor pada 11 Januari lalu.
“Kita mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Likas untuk mendapatkan bekalan selesa berdepan dengan Sri Pahang pada perlawanan pertama separuh akhir Unifi Piala Malaysia Sabtu ini.

“Saya percaya setiap pemain Sang Badak sudah melupakan kekalahan di tangan pendahulu Liga Super, JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Januari lalu.
“Komitmen 150 peratus akan diberikan untuk berdepan Sri Pahang dengan misi memburu kelebihan jaringan dalam separuh akhir pertama,” katanya.
Stano bagaimanapun berkata, beliau tidak memandang rendah keupayaan skuad Tok Gajah, sama seperti pasukan lain dalam Liga Super atau Unifi Piala Malaysia.
Sementara itu, Stano menyatakan harapannya agar penyokong skuad Sang Badak hadir beramai-ramai memberikan sokongan padu kepada Sabah FC dalam usaha pasukan memburu bekalan selesa ke pentas final.
“Kami amat berharap rakyat Sabah, khasnya penyokong setia Sabah FC hadir ke Stadium Likas, Sabtu ini bagi memberikan sokongan padu sebagai pemain ke-12 skuad Sang Badak dalam perlawanan penting ini.
“Sejujurnya, ini adalah peluang dan landasan terbaik bagi Sabah FC membuktikan keupayaan pasukan untuk mara ke perlawanan akhir,” katanya.
Mengenai status pemain untuk perlawanan itu, Stano berkata, masih ada beberapa pemain berada dalam senarai kecederaan selepas menentang Harimau Selatan di Iskandar Puteri pada 11 Januari lalu.
“Biarpun begitu, ia bukan masalah besar kerana kita masih mempunyai masa untuk menentukan senarai akhir pemain yang akan beraksi nanti,” katanya. – Info X