KOTA BELUD: Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kelawat, di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda lelaki berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia selepas tersepit dalam kenderaan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, sepasukan pegawai bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 8.05 malam.
“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bertembung dengan sebuah lori lapan tan.

“Terdapat empat orang mangsa dilaporkan terbabit dalam kes ini termasuk seorang mangsa tersepit di dalam Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di Toyota Hilux menggunakan peralatan khas iaiti ‘Rescue Tools’.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dilokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, tiga lagi mangsa yang berada di lori hanya mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya diserahkan pada pihak KKM .
“Pasukan bomba membuat pembersihan kawasan kemalangan menggunakan satu salur bantu mula (hose reel).
“Selepas memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi di tamatkan sepenuhnya pada jam 9.24 malam,” katanya. – Info X