PUTATAN: Kerajaan menyokong usaha berterusan pelbagai pihak termasuk persatuan etnik bagi memartabat bahasa ibunda masing-masing sebagai wadah perpaduan dan kebersamaan masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata ia termasuk usaha Persatuan Bahasa Etnik Sabah (SELA) menyediakan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Etnik Untuk Guru Bahasa Etnik (Kadazan, Tatana, Lotud dan Murut).
“Sebagai rakan pimpinan kerajaan, ini adalah satu perjuangan yang amat dekat dengan hati saya.
“Sebab itu, pada tahun lalu, kita mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) mengenai pengajaran dan pembelajaran bahasa entik itu di sekolah.
“Dalam mesyuarat itu, satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi memantau dan meneliti semua syor serta pelaksanaan pembangunan bahasa etnik Sabah (Kadazan, Tatana, Lotud dan Murut).
“Saya berharap sokongan daripada persatuan etnik, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan serta kementerian saya sendiri melalui Yayasan Bank Rakyat (YBR), usaha memartabatkan bahasa etnik dapat dijayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus dan Bengkel Penyediaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Etnik, di Hotel Platinum Putatan, di sini, semalam.

Ewon berharap dengan usaha dan sokongan berterusan semua pihak, bahasa etnik masyarakat Sabah dapat berkembang dengan baik di sekolah-sekolah.
“Mudah-mudahan suatu hari nanti sekolah-sekolah akan menjadi platfom bahasa etnik berkembang dengan baik.
“Negara kita adalah mengenai kebersamaan iaitu kebersamaan wilayah yang ada dalam negara ini dan kebersamaan etniknya iaitu Melayu, Cina, India dan etnik-etinik lain termasuk Tatana, Kadazan, Dusun, Lotud, Bajau.
“Kalau satu etnik ini mahu berpisah daripada kita, sudah tentu persekutuan dan negara ini sukar untuk ditadbir.
“Sebab itu, saya melihat kebersamaan ini sebagai justifikasi yang kuat untuk terus memastikan setiap etnik ada penghormatan daripada kerajaan dalam sektor pendidikan,” katanya.
Beliau turut menghargai usaha Persatuan Bahasa Etnik Sabah, Yayasan Bahasa Kadazandusun, Yayasan Bank Rakyat, BORIIS UMS, SIL dan Jabatan Pendidikan atas inisiatif menganjurkan kursus dan bengkel itu.
“Saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada inisiatif PdP Bahasa Etnik ini,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut melancarkan Persatuan Bahasa Etnik Sabah dan kamus pelbagai bahasa (Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu-Kadazandusun-Kadazan) yang diterbitkan oleh YBR. – Info X