KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan harga ayam yang tinggi di Sabah bukan isu politik, sebaliknya isu rakyat yang perlu ditangani segera.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia adalah isu keperluan asas rakyat yang harus ditangani secara bersama dan holistik.
Katanya, kerajaan perlu mengambil langkah segera mengatasi isu itu kerana ia semakin membebankan rakyat Sabah, terutama golongan berpendapatan rendah.
“Selain harga ayam, banyak lagi barangan keperluan lain yang juga mengalami jurang harga yang besar di antara Sabah dan Semenanjung.
“Apa yang saya sampaikan ini adalah antara keluhan rakyat akar umbi dan kita memikirkan dengan rasional kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi saban hari.
“Bayangkan, jika rakyat Sabah hanya mampu membeli sekilo ayam, rakyat di Semenanjung sudah boleh mendapatkan dua kilo dengan harga yang sama.
“Oleh itu, saya menyeru bukan saja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi juga semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan jurang harga barang keperluan ini, di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan berhubung isu harga ayam yang tinggi di Sabah.
Beliau sebelum ini mendakwa harga ayam di Sabah mencecah hingga RM16.50 sekilogram berbanding antara RM7 hingga RM9 sekilogram di Semenanjung.
Menjawab dakwaan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi menjalankan kajian penstabilan harga, termasuk ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Beliau juga meminta semua pihak terutama pemimpin politik supaya tidak hanya bercakap tanpa sebarang asas yang kukuh, sebaliknya menyalurkan terus maklumat situasi harga ayam kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sementara itu, Bung Moktar berkata harga ayam mencecah RM16.50 sekilogram yang didedahkan beliau sebelum ini adalah berdasarkan maklumat disampaikan orang awam.
“Saya telah meminta agar mereka melaporkan segera lokasi di mana harga sebegini masih dijual. Jika benar masih ada, penguatkuasa KPDN perlu segera mengambil tindakan.
“Namun, saya percaya selepas isu ini tular, kemungkinan besar penjual tidak lagi berani menawarkan harga seperti itu secara terang-terangan,” katanya.
Beliau berkata, UMNO Sabah melalui Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti juga akan menghantar memorandum dan aduan secara rasmi kepada KPDN berhubung isu harga ayam itu.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu menekankan isu harga ayam yang mahal di Sabah bukan isu baharu dan ia juga bukan alasan untuk mana-mana pihak, khususnya kerajaan, memberi jawapan mudah seolah-olah menafikan usaha kerajaan terdahulu dalam menangani masalah yang sama.
“Apa yang diperlukan ialah komitmen untuk menyelesaikan isu ini secara berkesan. Harga ayam bukan isu politik tetapi isu rakyat,” katanya.
Bung Moktar turut menyambut baik kajian dilaksanakan UMS dan UNIMAS yang diyakini hasilnya nanti dapat memberi gambaran lebih jelas punca perbezaan harga barang di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. – Info X