KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menyifatkan rancangan kerajaan negeri memperkenalkan program seperti penerokaan angkasa lepas dan kecerdasan buatan (AI) sebagai tersasar daripada tanggungjawabnya kepada rakyat.
Ketua Penerangan Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong, berkata adalah tidak wajar program yang menggambarkan cita-cita tinggi kerajaan itu diperkenalkan ketika rakyat sedang berdepan masalah asas seperti air, elektrik dan jalan raya.
Beliau mempersoalkan rancangan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu yang disifatkannya sebagai belum sampai masanya berikutan masih banyak masalah rakyat yang perlu diberi keutamaan.
“Kenapa kerajaan melabur dalam penerokaan angkasa lepas dan AI ketika rakyat menangis kerana ketiadaan air bersih dan infrastruktur asas yang sempurna?
“Adakah projek masa depan lebih penting berbanding kepayahan harian yang dihadapi rakyat Sabah? Bagaimana kita boleh bercakap mengenai angkasa lepas ketika seluruh komuniti, termasuk di bandar raya Kota Kinabalu bergelut dengan kekurangan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa krisis air bertambah teruk dalam beberapa minggu ini hingga menjejaskan banyak kawasan di seluruh Sabah.
Di Kota Kinabalu saja katanya, pusat beli belah terkenal terpaksa mengambil langkah drastik bagi menangani masalah berkenaan.
Katanya, ia termasuk menutup tandas dan memberi amaran kemungkinan pendingin hawa di dalam premis mereka terganggu disebabkan masalah air.
“Ini satu kegagalan tadbir urus yang jelas. Bagaimana perniagaan boleh beroperasi di bawah situasi ini? Bagaimana ia boleh menjejaskan kehidupan di bandar raya ini?
“Jika tempat berprofil tinggi seperti pusat beli belah, hotel dan kondominium juga berdepan masalah, bagaimana pula rakyat biasa Sabah di luar bandar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan negeri, khususnya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengambil tindakan segera terhadap perkara itu. – Info X