Search

Penghuni RPTA yang layak sudah ditawar PPR, tapi segelintir menolak – KKTP

January 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) menafikan kerajaan tidak prihatin terhadap nasib penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru (RPTA), di sini, yang diarah mengosongkan kediaman berikutan struktur bangunan tidak selamat.

Menterinya, Datuk Dr Joachim Gunsalam, dalam satu kenyataan berkata kerajaan tidak kejam terhadap penghuni kediaman berusia lebih 50 tahun itu, sebaliknya sudah menawarkan alternatif untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, hanya segelintir penghuni yang berkeras enggan mengosongkan kediaman, sebaliknya kebanyakan penghuni lain memberi kerjasama untuk berpindah kerana memahami keadaan dan tujuan kerajaan.

“Pihak kerajaan amat prihatin dan telah menunaikan janji untuk memberi penempatan kepada penghuni-penghuni RPTA yang terkesan.

Datuk Dr Joachim Gunsalam.

“Kesemua penghuni yang layak telah ditawarkan rumah PPR. Kebanyakan penghuni RPTA juga telah memberi kerjasama untuk berpindah kerana memahami keadaan dan tujuan sebenar kerajaan.

“Segelintir penghuni berkeras tidak meninggalkan RPTA kerana menerima maklumat yang tidak tepat dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin Parti Warisan, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong tampil menyuarakan nasib penghuni perumahan itu berikutan notis dikeluarkan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sebelum ini.

Dr Joachim berkata, LPPB mengeluarkan notis pemberitahuan mengenai bangunan RPTA yang tidak lagi selamat diduduki pada Mei 2021.

Katanya, ia adalah pemakluman awal untuk penghuni bersedia mencari tempat tinggal yang lain walaupun tiada tarikh akhir pengosongan bangunan ditetapkan.

Jelasnya, keputusan mengosongkan bangunan RPTA dibuat kerana bangunan yang berumur lebih 50 tahun itu sudah terlalu usang dan kian hari merosot serta tidak lagi selamat.

“Pada masa yang sama kos penyelenggaraan dan pembaikan memakan belanja yang jauh lebih besar daripada bayaran sewa. Tambahan pula ada penghuni tidak bertanggungjawab tidak membayar sewa.

“Tunggakan sewa RPTA setakat Disember 2024 adalah sebanyak RM236,585 menyebabkan pihak LPPB terus mengalami kerugian,” katanya.

Notis pengosongan perumahan itu, katanya hanya dikeluarkan pada 12 Jun 2024 dengan tarikh akhir pengosongan rumah dan kedai RPTA pada 31 Ogos 2024, iaitu selepas tiga tahun notis bangunan tidak selamat diduduki dikeluarkan.

Katanya, penghuni diberi tempoh tiga bulan untuk mengosongkan kediaman sebelum dilanjutkan ke 30 September 2024.

“Setakat hari ini, penghuni telah diberi kelonggaran untuk berpindah pada musim cuti penggal persekolahan sekarang.

“LPPB telah mematuhi arahan pihak kerajaan seperti yang dinyatakan oleh bekas Menteri KKTP dan memberi keutamaan kepada penghuni RPTA untuk ditawarkan PPR LPPB di mana mereka yang layak telah diberi tawaran rumah bila ada kekosongan.

“Walaupun ada yang menolak kerana mahukan lokasi yang sesuai untuk mereka, telah juga diberi peluang kali kedua dan keutamaan untuk ditawarkan rumah apabila ada kekosongan di lokasi pilihan.

“Pihak LPPB juga telah berusaha mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan rumah PPR lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya penghuni sendiri yang menolak tawaran demi tawaran rumah LPPB, menyebabkan LPPB tiada pilihan selain meminta mereka berpindah ke rumah alternatif sendiri.

“Rumah PPR LPPB seperti juga RPTA adalah dikhususkan untuk golongan berpendapatan rendah di mana antara syarat untuk layak menyewa PPR mengikut Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah Untuk Disewakan Negeri Sabah 2018 adalah: gaji tidak melebihi RM3,000 dan tidak memiliki rumah sendiri, manakala penghuni yang bukan penyewa asal adalah tidak layak.

“Oleh yang demikian, bagi mereka yang tidak memenuhi syarat tersebut perlulah mengosongkan rumah seperti dalam situasi biasa kerana tidak layak.

“Satu lagi syarat untuk terus menyewa juga adalah tidak mempunyai tunggakan sewa tetapi penghuni RPTA telah diberi kelonggaran dan masih ditawarkan rumah walaupun ada tunggakan,” katanya.

Sementara itu, katanya KKTP memahami keprihatinan Junz Wong terhadap keadaan dan masalah yang dihadapi penghuni RPTA.

“Oleh itu kementerian saya meminta kerjasama YB Datuk Junz Wong membantu kerajaan untuk menangani masalah ini dengan mendapatkan rumah-rumah alternatif kepada penyewa RPTA ini dan menasihatkan mereka bahawa keselamatan mereka adalah sangat penting.

“Mereka harus berpindah secepat mungkin bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak dingini berlaku kerana hari demi hari keadaan RPTA tidak lagi terjamin,” katanya. – Info X