Search

Gagal seludup petrol, suspek nekad terjun ke laut

January 26, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Tindakan dua lelaki cuba menyeludup petrol ke negara jiran gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 1.5 batu nautika barat laut dari Pulau Langdayang, Pitas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun ditahan ketika cuba melarikan dengan terjun ke laut manakala rakannya berjaya melarikan diri ke daratan berhampiran.

Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot ronda APMM Kudat yang sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera/Op Tiris/Op Pluto Timur dan Op Cegah Pati digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan.

“Sebaik tiba di lokasi pasukan operasi mengesan sebuah pam bot dalam keadaan mencurigakan. Ketika bot ronda cuba menghampiri untuk pemeriksaan, terdapat dua lelaki bertindak terjun ke laut cuba melarikan diri.

“Namun seorang daripada suspek berjaya ditahan semula, manakala seorang lagi melarikan diri ke daratan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota APMM memeriksa bot pam membawa muatan petrol yang cuba diseludup keluar ke negara jiran. – Foto/APMM

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap bot suspek menemui 12 tong drum biru dipercayai berisi bahan api petrol.

“Suspek yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang dah. Suspek dan bot diiringi masuk ke Jeti Marina Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat, Kota Marudu dan Pitas untuk sama-sama membantu APMM melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaky di laut kepada Pusat Operasi Zon Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. – Info X