Search

Kesejahteraan rakyat jadi keutamaan kerajaan – Hajiji

January 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat, termasuk masyarakat Tionghua di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jaminan itu sebagai tanda terima kasih kerajaan atas sokongan rakyat, termasuk masyarakat Tionghua dalam membangunkan Sabah.

“Selaku Ketua Menteri, saya memberi jaminan bahawa kesejahteraan rakyat, termasuk masyarakat Tionghua akan terus diberi keutamaan.

“Semoga tahun ini akan membawa sinar harapan, kekuatan, kebahagian dan kesihatan yang baik di samping menikmati lebih kemakmuran.

“Kita bersyukur kerana rakyat Malaysia di Sabah, terutamanya yang berketurunan Tionghua akan menyambut Tahun Baharu Cina Rabu ini, iaitu Tahun Ular dalam suasana aman, harmoni dan penuh kegembiraan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina, di sini.

Sementara itu, Hajiji menekankan kepelbagaian bangsa dan agama di Sabah tidak memisahkan hubungan sesama rakyat, malah ia membantu membina sebuah masyarakat yang harmoni di negeri ini.

Beliau berkata, kekuatan Sabah terletak kepada kepelbagaian bangsa, agama, tradisi, etnik dan bahasa yang dimiliki masyarakatnya.

“Marilah kita rapatkan barisan ke arah Sabah lebih maju serta progresif dan pertahankan hubungan persaudaraan yang harmoni terus menjadi tunjang pembangunan dan keamanan negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata 2025 adalah tahun terakhir pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 yang bermula pada 2021.

“Sekiranya kita diberi mandat, kita akan teruskan dengan halatuju SMJ 2.0 dari tahun 2026 hingga tahun 2030.

“Sesungguhnya, tidak dinafikan Hala Tuju SMJ ini telah berjaya merubah dan memperbaiki prestasi ekonomi Sabah yang sebelum ini jatuh merudum akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Hajiji mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada semua masyarakat Tionghua dan yang meraikannya di negeri ini. – Info X