KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran memartabatkan budaya etnik Sabah dengan menjadikan pakaian atau kostum bermotifkan etnik negeri ini sebagai pakaian rasmi dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata pemaikaian kostum pelbagai etnik Sabah bukan saja cantik dan menarik, malah mempunyai nilai komersial.
Katanya, pembuat kostum dari pelbagai etnik di negeri ini banyak menghasilkan pakaian yang menarik dan berkualiti serta mendapat sambitan yang baik.
“Bukan saja orang tempatan yang mahu membelinya, malahan pelancong luar juga tertarik untuk membeli dan memilikinya.
“Justeru, bagi memartabatkan lagi pemakaian kostum etnik Sabah, saya mencadangkan kepada kerajaan agar ia dijadikan kod pakaian rasmi dalam majlis-majlis keraian kerajaan negeri dan pada hari-hari tertentu yang ianya difikirkan wajar.
“Pada masa ini setiap Khamis kakitangan kerajaan memakai baju batik,” katanya pada majlis Malam Budaya Etnik Sabah di sini, semalam.

Turut hadir, isteri Timbalan Ketua Menteri II, Datin Seri Linda Ewit yang mewakili isteri Ketua Menteri; Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng; Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Noorfaridah Othman dan Naib Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Annie Louders.
Azizah berkata, rakyat Sabah perlu berusaha mengekal dan memperkasa budaya, bahasa serta adat etnik di negeri ini agar tidak terpinggir dalam arus kemodenan serta teknologi semasa.
Tambahnya, kepelbagaian masyarakat Sabah yang terdiri daripada 35 etnik dan 217 sub etnik serta menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek perlu dipertahankan untuk diwarisi generasi muda akan datang.
“Saya mahu persatuan-persatuan etnik berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
“Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti kaum tersebut dan jika hilang identiti apa lagi yang boleh kita banggakan untuk generasi akan datang,” katanya.
Azizah berkata, rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu sentiasa berasa bangga mempamerkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing supaya dikenali oleh orang luar.
Katanya, muzik dan lagu sama ada Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut membentuk serta mewujudkan identiti budaya yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan irama yang unik serta menarik.
“Kita perlu ingat bahawa hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan, sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa.
“Kekayaan budaya juga merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri, melalui industri pelancongan, industri seni kreatif termasuklah industri kecil dan sederhana yang berasaskan komuniti di Sabah,” katanya. – Info X