Search

Selesaikan jalan rosak, jangan ada lagi kemalangan terlanggar lubang – Hajiji

February 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa supaya sentiasa peka terhadap keadaan jalan raya, terutama masalah jalan rosak dan berlubang demi keselamatan serta keselesaan pengguna di negeri ini.

Menyuarakan gesaan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan tidak mahu insiden kemalangan disebabkan jalan berlubang seperti berlaku di Jalan Lintas, di sini, baru-baru ini, berulang.

Beliau menggesa pegawai di jabatan yang bertanggungjawab terhadap jalan raya supaya melihat insiden itu sebagai perkara serius dan mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang berlaku.

“Ini adalah sesuatu yang menyedihkan kita tetapi kerajaan akan terus mengatasi masalah seumpama ini supaya jangan lagi terjadi pada masa akan datang.

“Kita tegas maklumkan kepada pegawai-pegawai kita, jabatan-jabatan yang bertanggungjawab supaya melihat perkara seumpama ini dengan serius dan selesaikan masalah-masalah ini.

“Jangan biarkan jalan berlubang dan sebagainya ini, nanti ada lagi yang ‘accident’. Jadi kita tidak mahu itu berlaku, kita minta pegawai supaya lebih proaktif dalam menyelesaikan perkara ataupun masalah seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Inanam, Datuk Roland Chia dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan.

Ketua Menteri menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Gagasan Rakyat Inanam di Manggatal.

Pada Isnin lalu, seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas akibat terlanggar lubang berhampiran Jejambat Lido di Jalan Lintas, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), jam 1.35 tengah hari.

Sementara itu, Hajiji berkata rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah tidak menghadapi masalah dalam soal toleransi, malah hidup secara harmoni sudah lama menjadi amalan.

“Kita di sini sudah dari zaman dulu begitu, apa yang penting bagi orang Islam ialah akidah dia. Kita pergi meraikan, melawat kaum keluarga tetapi yang penting akidah kita.

“Tiada orang (Islam) yang pergi menghormati saudara mara mereka dalam gereja tukar agama. Saya sendiri bersekolah di Mission School bertahun-tahun.

“Jadi itu terpulang kepada kita, akidah kita jaga. Keharmonian, kasih sayang di antara keluarga itu janganlah kita putuskan dengan peraturan-peraturan yang tidak begitu relevan kepada kita,” katanya.

Beliau diminta mengulas cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam menghadiri rumah ibadat bukan Islam. – Info X

Pix –