Search

Lelaki OKU dipenjara seminggu, denda RM10,000 menunggang motosikal ketika mabuk

February 12, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipenjara seminggu dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah menunggang motosikal dalam keadaan mabuk ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Azrey Rhyme, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Azrey didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira jam 11.20 malam, 5 Oktober lalu ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Chong Thien Vun, di sini.

Ujian saringan pernafasan terhadap tertuduh mendapati kandungan alkohol dalam darahnya sebanyak 107 miligram etil dalam 100 mililiter darah, melebihi had yang dibenarkan.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Mohd Azrey turut didakwa mengikut Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana menunggang motosikal dengan tidak memiliki lesen memandu dan kenderaan tidak diliputi insuran.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Achok.

Joan Lee dalam hujahnya meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.

Majistret kemudian menjatuhi hukuman penjara selama tujuh hari dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun. – Info X