Search

PRN17: Tiada perbincangan rasmi UMNO-Warisan

February 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menjelaskan tiada perbincangan rasmi atau kesepakatan di antara parti itu dan Warisan bagi membentuk gabungan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata UMNO Sabah juga belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan mana-mana parti lain.

Jelasnya, sebarang laporan kerjasama membabitkan UMNO Sabah dengan Warisan atau parti lain yang tersebar di media sosial ketika ini hanya spekulasi pihak tertentu menjelang PRN17.

“Saya mengesahkan sehingga hari ini tidak ada sebarang perbincangan rasmi atau kesepakatan di antara UMNO Sabah dan Parti Warisan.

“Ingin ditegaskan juga setakat ini UMNO Sabah belum ada keputusan untuk mengadakan sebarang gabungan dengan mana-mana parti politik di Sabah.

“Segala laporan yang tular hanyalah spekulasi dan tidak mewakili pendirian rasmi UMNO Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan tersebar di media sosial yang mendakwa UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mencapai kompromi untuk tidak bertembung dengan Warisan pada PRN17 yang dijangka diadakan sebelum Oktober depan.

Laporan itu turut dinafikan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking, semalam yang menjelaskan perkara seperti itu tidak pernah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi atau Biro Politik Warisan untuk dibincangkan.

Sementara itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran, berkata UMNO Sabah kekal fokus dalam usaha memperkukuh parti dan memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.

Sehubungan itu, katanya bagi menghadapi sebarang kemungkinan, UMNO Sabah sudah
bersiap-siaga dengan strategi tersendiri bagi menghadapi PRN17.

“UMNO Sabah yakin dengan
kepercayaan rakyat dan pengalaman parti dalam menguruskan kebajikan serta pembangunan negeri.

“UMNO Sabah akan terus menjadi
pilihan utama pengundi di seluruh Sabah.

“Sehubungan itu, UMNO Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata, sebarang keputusan atau pengumuman rasmi mengenai hala tuju UMNO dan BN Sabah menjelang PRN17 Sabah akan dibuat melalui saluran yang sah pada masa yang sesuai. – Info X