Search

Kanak-kanak lelaki cedera diserang wanita guna pisau

February 16, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera di tangan dipercayai diserang seorang wanita menggunakan pisau di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8, Jalan Apas, di sini, Khamis lalu.

Kejadian itu disedari oleh ahli keluarganya selepas mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian tangan, pada jam 6.10 petang.

Susulan itu, ibu saudara mangsa berusia 43 tahun membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek wanita berusia 43 tahun di kawasan PPR Batu 8, Jalan Apas, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mangsa dan motif sebenar serangan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, mangsa mengalami luka di bahagian tangan kirinya ketika cuba mengelak daripada ditikam oleh suspek.

“Namun mangsa berara dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tawau.

“Manakala suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Jasmin meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. – Info X