TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk sebuah bengkel kenderaan di Kampung Tanjung Batu Tengah, Jalan Bukit Kukusan, di sini, kelmarin.
Suspek berusia 63 tahun ditahan di sebuah premis yang menyimpan dan menjalankan perniagaan barangan terpakai serta besi buruk di Jalan Damai, di sini, jam 11.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, penahanan suspek susulan laporan yang diterima daripada pemilik bengkel mengenai kejadian pecah masuk berkenaan.
“Kejadian pecah masuk bengkel itu berlaku pada 21 Januari lalu. Susulan laporan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan dan menahan suspek terbabit.
“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun polis sedang menyiasat sama ada dia terbabit dalam mana-mana kes lain sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media.
Jasmin berkata, polis juga turut menahan rakan sejenayah suspek pada 12 Februari lalu, yang dipercayai turut terlibat dalam kes pecah masuk bengkel kenderaan tersebut.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan kedua-dua suspek dalam kegiatan jenayah ini.
“Selain itu, suspek juga turut menunjukkan lokasi barang yang dicuri dan disimpan di sebuah premis yang menyimpan dan menjalankan perniagaan barangan terpakai serta besi buruk di Batu 5, Jalan Apas,” katanya.
Tambahnya, polis turut merampas sembilan buah bateri kenderaan pelbagai jenama dan satu keping resit pembelian tunai (cash purchase) yang dipercayai berkaitan dengan kes yang disiasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan pemilik premis supaya mengambil langkah keselamatan tambahan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengukuhkan sistem keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang. – Info X