SANDAKAN: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika menangkap udang di perairan Tanjung Semawang, di sini, semalam.
Mangsa berusia 14 tahun dikatakan keluar menangkap udang jam 5.30 pagi semalam bersama beberapa rakannya.
Bagaimanapun sehingga tengah hari, mangsa belum pulang menyebabkan ahli keluarganya keluar mencarinya dan hanya menemui bot mangsa dan topi di atas permukaan laut di perairan berkenaan.
Tidak lama selepas pencarian dibuat bersama penduduk kampung namun mangsa masih belum ditemui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.39 pagi tadi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan pencarian masih dijalankan.
“Maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X